Prinsip-prinsip di sebalik persekitaran Zen
Konsep Zen amat mudah menarik minat dan perhatian sesiapa saja. Aplikasi konsep ini dalam penataan dalaman mahu pun taman kelihatan amat elegan dan mewah di sebalik ciri ringkas yang ketara. Bagi sesiapa yang berminat dengan konsep penataan Jepun yang terkenal ini, terdapat 7 prinsip asas untuk difahami dan diikuti untuk menjayakannya. Berikut adalah konsep-konsep berkenaan.
Kanso- Meringkaskan atau menghapuskan selerak. Elemen-elemen dipersembahkan secara bersahaja, mudah dan semulajadi. Ia mengingatkan kita tentang memperjelaskan dan bukan tentang dekorasi. Dengan membuang atau mengecualikan sesuatu yang tidak penting, kita dapat memperjelaskan apa yang ingin dilihat.
Enso Fukinsei – Keluarbiasaan atau ketidaksamaan. Idea mengawal keseimbangan dalam sesuatu gubahan melalui keluarbiasaan dan ketidaksamaan merupakan kunci kepada konsep Zen. Alam semulajadi sendiri memaparkan pelbagai keindahan dan keharmonian yang seimbang, dinamik, menarik dan mempersona di sebalik pelbagai ketidaksamaan dan keluarbiasaan.
Shibui/Shibumi – Keindahan bersahaja atau dalam keadaan di mana ia sepatutnya dan tidak dilebih-lebihkan. Berterus terang, ringkas, tepat, sempurna dan elegan. Terma-terma seperti ini sering digunakan untuk menggambarkan sesuatu teknologi atau barangan pengguna yang hebat yang mana kecantikannya terserlah tanpa memerlukan sebarang aksesori.
Shizen – Kesemulajadian. Kreativiti tidak perlu dipaksa sehingga membawa kepada kepura-puraan dan kepalsuan. Ia agak ironi kerana apa yang kelihatan semulajadi dalam persekitaran Zen sebenarnya bukanlah satu kebetulan. Ia sentiasa mengandungi tujuan dan matlamat di sebalik rupa yang semulajadi.
Yugen – Kedalaman atau pembayangan maksud berbanding pernyataan. Dalam rekaan sesebuah persekitaran Zen akan wujud koleksi elemen yang bersifat abstrak. Menunjukkan hanya sebahagian dari sesuatu perkara mungkin dapat mendorong kepada kefahaman atau presepsi yang lebih luas. Banyak dapat dipertontonkan dari sedikit yang dipersembahkan.
Datsuzoku – Bebas dari kebiasaan atau formula. Mengelak dari apa yang rutin dan biasa. Di luar kotak. Melangkaui apa yang konvensional. Kebanyakan orang akan terpegun apabila persekitaran yang mereka lihat tidak kelihatan seperti kebiasaan yang mereka jangka.
Seijaku – Ketenangan, ketenteraman, keabadian. Perasaan ini dapat dikaitkan apabila kita berada dalam persekitaran Zen. Berlawanan dengan prinsip “seijaku” adalah hiruk pikuk dan kacau bilau.
Koleksi Imej: Google Images
Tiada ulasan:
Catat Ulasan